Mengurus lambakan mayat


Your Ad Here










Hospital beri tempoh dua minggu kepada waris untuk menuntut mayat ahli keluarga sebelum keputusan diambil untuk melupuskan mayat itu.



ADA yang mahu, ada juga yang menolak atas sebab-sebab tertentu. Namun bagi mengelak lambakan mayat di hospital-hospital kerajaan, langkah terbaik yang ditetapkan oleh Institut Perubatan Forensik Negara (IPFN), Hospital Kuala Lumpur ialah menguruskannya dalam tempoh dua minggu.

ABU BAKAR LAJIS memeriksa mayat yang belum dituntut oleh waris di IPFN.

Sama ada berwaris atau tidak, jika mayat tidak dituntut dalam tempoh tersebut, pihak hospital akan menguruskannya mengikut identiti dan agama masing-masing kecuali yang melibatkan kes mahkamah.

Bagaimanapun, tindakan tersebut hanya akan diambil setelah hebahan melalui media dibuat sebelum tempoh yang ditetapkan.

Penyelia IPFN, Abu Bakar Lajis berkata, kebanyakan mayat yang tidak dituntut itu dibahagikan kepada dua kategori iaitu mempunyai identiti atau tanpa identiti.

"Bagi mayat yang mempunyai identiti, waris mereka akan dikesan melalui dokumen peribadi di samping kerjasama dengan polis bagi membolehkan pengecaman dilakukan.

"Kita tidak mempunyai masalah bagi mayat yang mempunyai waris, cuma jika ada yang enggan menguruskannya, mayat tersebut terpaksa diuruskan oleh pihak hospital melalui Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) atau pertubuhan agama berkaitan," katanya ketika ditemui KOSMO!.

Katanya, bagi kes mayat yang tidak dituntut kerana tidak beridentiti seperti pendatang tanpa izin (Pati), pihaknya akan berusaha mencari waris terdekat dengan bantuan polis di samping membuat hebahan di media massa sebelum menguruskannya dalam tempoh dua minggu.

"Kami akan menjalankan siasatan menyeluruh ke atas mayat untuk mengenal pasti identitinya, jika sahih Islam atau identitinya tidak dapat dikenal pasti akibat keadaannya tidak sempurna, kita akan serahkan kepada JAWI.

"Jika sah bukan Islam, seperti ada tanda-tanda seperti tatoo pada badan atau kenyataan waris terdekatnya, kita akan uruskan di rumah pembakaran mayat," ujarnya.

Tambah Abu Bakar, bagi memudahkan sebarang proses tuntutan pada masa akan datang yang di luar jangkaan, pihaknya turut mengambil sampel DNA, cap jari dan gambar mayat untuk rekod simpanan.

"Ia sebagai bukti sekiranya ada waris mayat yang tidak beridentiti itu menuntutnya selepas tempoh dua minggu.

"Tempoh dua minggu merupakan piawaian standard (SOP) yang ditetapkan IPFN bagi membolehkan mayat itu diuruskan secepat mungkin bagi mengelak kesesakan di bilik mayat," katanya.

Tambahnya, perasaan malu, masalah keluarga yang kronik serta kepercayaan tertentu adalah antara punca sesetengah waris enggan menguruskan mayat ahli keluarga mereka.

Ini melibatkan golongan yang sering dikaitkan dengan permasalahan penagihan dadah, pesakit HIV dan penyakit berjangkit, pesalah jenayah atau kutu rayau.

Disebabkan itu, ada di antaranya rela mengeluarkan wang poket dan menyerahkan tanggungjawab itu kepada pihak hospital sebelum diuruskan oleh pihak jabatan agama Islam atau pertubuhan agama berkaitan daripada menguruskannya sendiri di rumah.

Bagi golongan warga asing pula, kebanyakan mayat yang tidak dituntut ialah bertaraf Pati, tidak mempunyai dokumen pengenalan diri dan tidak diiktiraf pihak kedutaan.

Selain itu, ada juga waris tidak mampu menanggung kos menguruskan pengkebumian lantas membiarkan mayat tidak dituntut sehingga memaksa pihak hospital membuat keputusan yang ditetapkan.

Berdasarkan rekod IPFN, sepanjang tahun 2005, terdapat 96 mayat yang tidak dituntut di hospital tersebut, manakala pada tahun 2006 (95 kes) dan tahun lalu (112 kes) yang semuanya melibatkan rakyat tempatan dan warga asing.

MAYAT beragama Islam yang tidak dituntut dalam tempoh dua minggu akan diuruskan oleh JAWI manakala bukan Islam akan diuruskan di rumah pembakaran.

Sementara itu, Pegawai Sains Forensik Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM), Hairol Azwan Mohd Yusop menjelaskan pihaknya turut berdepan dengan masalah mayat tidak dituntut tetapi jumlahnya lebih rendah iaitu satu atau dua kes sahaja dilaporkan setahun.


Tags

Post a Comment

0 Comments
* Please Don't Spam Here. All the Comments are Reviewed by Admin.