Ustaz Kazim: Komen negatif sudah dijangka

Ustaz Kazim: Komen negatif sudah dijangka

klik 👉 Follow Telegram BeritaUp2date (large-bt)


Ustaz Kazim: Komen negatif sudah dijangka

Pendakwah popular, Mohammad Kazim Elias sudah menjangkakan pelbagai reaksi yang bakal diterima sebaik pengumuman lantikannya sebagai ahli Majlis Tertinggi (MT) Umno dibuat, semalam.

Bagaimanapun beliau kesal, apabila rata-rata komen yang diterima terutama yang dilakukan menerusi media sosial termasuk Facebook bersifat cacian dan cemuhan.

Menurutnya, keadaan itu disifatkan tidak adil sedangkan keputusan sama ada mahu menerima atau menolak perlantikan itu belumpun diputuskan.

“Saya memang sudah jangka akan ada penerimaan dan reaksi negatif  seperti ini, tetapi mereka terlalu cepat (menghentam) tanpa mendengar penjelasan, sepatutnya (komen) lebih berhemah.

“Alangkah baik jika semua pihak memandang kebaikan, sekiranya perdana menteri minta tolong untuk martabatkan Islam, apa salahnya saya bantu, mana-mana pihak yang minta nasihat juga akan saya bantu,” katanya ketika ditemui pada Majlis Penutupan Program Kem Tahsin yang dirasmikan Ahli Dewan Negara, Senator Datuk Dr  Mashitah Ibrahim di Pusat Pendidikan Al-Barakah, di sini, hari ini.

Mohammad Kazim atau dikenali Ustaz Kazim adalah antara sembilan individu  yang dilantik sebagai ahli MT baru yang diumumkan Setiausaha Agung, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, semalam.

Lapan lagi MT yang dilantik ialah Menteri Pelancongan, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz; Timbalan Menteri Luar, Datuk Hamzah Zainuddin; Exco Kerajaan Negeri Pahang, Datuk Mohd Sharkar Shamsuddin; Ketua Umno bahagian Lembah Pantai, Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin dan Ahli Parlimen Kuala Selangor, Datuk Irmohizam Ibrahim.

Turut tersenarai, Ahli Parlimen Titiwangsa, Datuk Johari Abdul Ghani; bekas Naib Canselor Universiti Teknologi Mara (UiTM), Prof Tan Sri Dr Ibrahim Abu Shah dan Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah (Yadim), Dr Asyraf Wajdi Dusuki.

Ustaz Kazim yang juga Pengerusi Pusat Pendidikan Al-Barakah mengakui, komen negatif yang diterima sedikit sebanyak mengganggu emosi ahli keluarganya yang lain.

Katanya, gelaran seperti anjing dan macai yang dilempar agak keterlaluan hingga ada ketikanya membuatkan anaknya sendiri menangis membaca komen sebegitu.

“Saya penat, orang kutuk macam-macam, anak saya sendiri menangis apabila bapanya dipanggil anjing dan barua. Ini membuatkan saya sedih. Orang luar hanya tahu memboikot, tetapi sekupang pun mereka tidak datang untuk melihat tempat kita (Pusat Pendidikan Al-Barakah),'' katanya.


Abang kurang setuju Ustaz Kazim sertai MT Umno

“Secara peribadi saya kurang bersetuju beliau terlibat secara keseluruhan dalam parti,” luah Kapten (B) Datuk Mohd Najmuddin Elias berhubung pelantikan adiknya, Mohammad Kazim sebagai ahli Majlis Tertinggi (MT) Umno.

Mohd Najmuddin berkata, sebagai ahli keluarga, beliau melihat situasi pelantikan itu hanya akan menguntungkan sebelah pihak berbanding tugas pendakwah bebas yang boleh menyebar ilmu kepada kerajaan mahupun pembangkang.

Menurutnya, sekiranya benar perdana menteri mahu menempatkan Ustaz Kazim dalam kerajaan, satu jawatan yang lebih sesuai boleh diberikan agar tugas sebagai pendakwah masih boleh dijalankan tanpa perlu ada ‘double standard’.

Beliau turut tidak menolak kemungkinan, penerimaan jawatan itu kelak akan mengganggu perjalanan Pusat Pendidikan Al-Barakah yang selama ini di bawah tanggungjawab Ustaz Kazim.

“Buat masa ini, saya tidak mendapat penjelasan dari mana-mana pihak mengenai perkara ini. Saya juga tidak tahu di sebalik perlantikan tersebut.

“Sebagai abang saya tidak bersetuju, kecuali perdana menteri menyediakan satu jawatan yang lebih sesuai agar dia boleh terus berdakwah,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian, hari ini.

Beliau yang juga Pegawai Penerangan Agama Pejabat Menteri Besar Perak memaklumkan akan mengadakan satu sidang media khas bersama seorang lagi adiknya yang juga Adun Kubu Gajah, Ahmad Hasbullah setelah mendapat penjelasan daripada Ibu Pejabat Umno mengenai pelantikan itu.

Mengulas mengenai keahlian Pas, Mohd Najmuddin tidak menafikan Ustaz Kazim pernah menjadi ahli parti itu 15 tahun lepas, bagaimanapun sudah mengisytiharkan diri keluar parti.

“Setahu saya memang (Ustaz) Kazim pernah jadi ahli Pas, tapi dah lama keluar dan sejak itu dia jadi pendakwah bebas,” katanya.


Kongsikan artikel ini:

Ikuti kami di Facebook, Twitter, dan Telegram untuk berita terkini setiap hari.
klik 👉 https://t.me/BeritaUp2Date



Tags

Post a Comment

0 Comments
* Please Don't Spam Here. All the Comments are Reviewed by Admin.