Duta Besar Malaysia ke Amerika Syarikat Awang Adek serah watikah kepada Obama

Duta Besar Malaysia ke Amerika Syarikat Awang Adek serah watikah kepada Obama

klik 👉 Follow Telegram BeritaUp2date (large-bt)


Awang Adek serah watikah kepada Obama

New York: Duta Besar Malaysia ke Amerika Syarikat yang baharu, Datuk Dr Awang Adek Hussin adalah antara duta yang menyerahkan watikah pelantikan mereka kepada Presiden Barack Obama di White House, pada Rabu lalu.


Memakai baju Melayu berwarna hitam dan diiringi isterinya Datin Latifah Mohd Yusof, anak perempuan dan cucu perempuan, Awang Adek adalah yang ketiga dipanggil bertemu presiden pada majlis itu.

Duta Besar lain ialah dari Chad, Indonesia, Timor-Leste,Turki, Burundi, Jerman, Honduras, Chile, Benin, Kiribati dan Tajikistan.

Obama ramah

Majlis penyerahan watikah pelantikan itu merupakan upacara tradisi bagi menandakan khidmat sebagai duta di Washington bermula secara rasmi. Upacara itu berlangsung di Oval Office.

Sementara itu, Awang Adek ketika ditemui di sini berkata Obama merupakan seorang yang ramah dan tidak putus bercerita tentang pengalamannya melawat Malaysia baru-baru ini. Duta Malaysia itu berkata sebaik sahaja memasuki pejabat presiden itu, beliau disambut Obama dengan “Selamat Siang”

Obama, katanya, melahirkan perasaan gembira kerana berkesempatan bertemu dengan Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah dan Raja Permaisuri Agong Tuanku Hajah Hamimah semasa lawatannya itu. Beliau berkata Presiden Amerika Syarikat itu juga berkata beliau berharap untuk berada lebih lama di Malaysia.

Lawatan tiga hari Obama ke Malaysia daripada 26 April lepas – adalah sebahagian daripada lawatannya ke empat negara di Asia yang pertama oleh presiden Amerika Syarikat dalam tempoh 48 tahun sejak lawatan Presiden Lyndon B. Johnson pada 1966.

“Presiden Obama juga memuji hubungan kerja baik dan perkongsian komprehensif antara Amerika dan Malaysia,” kata Awang Adek.

Awang Adek berkata presiden juga mengalu-alukan peranan Malaysia sebagai pengerusi Asean pada tahun depan dan bersedia untuk menyaksikan Kuala Lumpur menduduki kerusi tidak tetap Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa Bersatu.

Katanya, Obama sekali lagi berbahasa Melayu apabila pertemuan itu berakhir dengan meluahkan ucapan “Terima kasih banyak-banyak”.

Duta itu ditemui pada Jumaat pada pameran foto ‘Malaysia’s Involvement in the United Nations’ anjuran Pejabat Wakil Tetap Malaysia ke Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) di ibu pejabat badan dunia itu.

Pemeran diadakan sempena lawatan kerja Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman ke New York.

Kongsikan artikel ini:

Ikuti kami di Facebook, Twitter, dan Telegram untuk berita terkini setiap hari.
klik 👉 https://t.me/BeritaUp2Date



Post a Comment

0 Comments
* Please Don't Spam Here. All the Comments are Reviewed by Admin.