Header Ads

Up2date Terkini!
recent

Universiti Malaysia Sabah UMS Isytihar 10 Fakulti Secara Rasmi


Rasmi: 10 Fakulti Universiti Malaysia Sabah UMS Diisytihar

SELASA, 6 MEI – Sejajar dengan transformasi akademik bersempena dengan sambutan ulang tahun ke-20 UMS, Naib Canselor, Prof. Datuk Dr. Mohd. Harun Abdullah pada hari ini mengumumkan pengisytiharan 10 buah fakulti dalam satu majlis di Dewan Resital.

Penggunaan kata nama “fakulti” tersebut menggantikan “sekolah” yang telah digunakan sejak penubuhan UMS. Transformasi tersebut turut menyaksikan penstrukturan 13 buah sekolah yang sedia ada kepada 10 buah fakulti.

10 fakulti tersebut ialah Fakulti Sains dan Sumber Alam, iaitu gabungan Sekolah Sains dan Teknologi dan Sekolah Perhutanan dan Tropika Antarabangsa, Fakulti Kemanusiaan, Seni dan Warisan hasil gabungan Sekolah Sains Sosial dan Sekolah Pengajian Seni, Fakulti Psikologi dan Pendidikan hasil gabungan Sekolah Psikologi dan Kerja Sosial dan Sekolah Pendidikan dan Pembangunan Sosial.

Nama Sekolah Kejuruteraan dan Teknologi Maklumat pula ditukar kepada Fakulti Kejuruteraan, Sekolah Sains Informatik Labuan ditukar kepada Fakulti Komputeran dan Informatik, Sekolah Pertanian Lestari kepada Fakulti Pertanian Lestari, Sekolah Sains Makanan dan Pemakanan kepada Fakulti Sains Makanan dan Pemakanan, Sekolah Perniagaan dan Ekonomi kepada Fakulti Perniagaan, Ekonomi dan Perakaunan, Sekolah Perniagaan dan Kewangan Antarabangsa Labuan kepada Fakulti Kewangan Antarabangsa Labuan dan Sekolah Perubatan kepada Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan.



Datuk Harun dalam ucapannya berkata setelah mencapai usia 20 tahun, adalah wajar entiti akademik UMS disemak semula untuk tujuan memantapkan lagi ekosistem pengajian prasiswazah dan pascasiswazah.

“Dengan erti kata lain, UMS perlu melaksanakan transformasi akademik untuk memastikan UMS kekal relevan (relevant), dirujuk (referred) dan dihormati (respected),” katanya.

Menurut beliau lagi, transformasi ini adalah bagi mendepani cabaran-cabaran semasa dan akan datang, antaranya globalisasi pendidikan tinggi, pengantarabangsaan pendidikan tinggi, isu kebolehpasaran graduan, jangkaan tinggi oleh pemegang taruh, dan pengurangan peruntukan pusat.

Pada majlis tersebut Datuk Harun turut menyampaikan watikah pelantikan 10 dekan fakulti. Dekan-dekan tersebut ialah Prof. Madya Dr. Baba Musta yang akan mengetuai Fakulti Sains dan Sumber Alam, Prof. Dato' Hj. Mohd. Hamdan Hj. Adnan sebagai dekan Fakulti Kemanusiaan, Seni dan Warisan, Prof. Dr. Ismail Ibrahim sebagai dekan Fakulti Psikologi dan Pendidikan, Prof. Ir. Dr. Rosalam Sabartly sebagai dekan Fakulti Kejuruteraan, Prof. Madya Dr. Ag. Asri Ag. Ibrahim sebagai dekan Fakulti Komputeran dan Informatik.

Prof. Madya Dr. Azwan Awang dilantik sebagai pemangku dekan Fakulti Pertanian Lestari, Prof. Madya Dr. Sharifuddin Md. Shaarani sebagai dekan Fakulti Sains Makanan dan Pemakanan, Prof. Madya Dr. Rasid Mail sebagai dekan Fakulti Perniagaan, Ekonomi dan Perakaunan, Prof. Madya Dr. Syed Nasirin Syed Zainol Abidin sebagai dekan Fakulti Kewangan Antarabangsa Labuan, dan Prof. Dr. D Kamarudin D Mudin sebagai dekan Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan.

Penukaran nama tersebut berkuatkuasa pada 1 Jun ini. -MA-

Bahagian Media dan Citra
Jabatan Canselori

No comments:

Powered by Blogger.