Header Ads

Up2date Terkini!
recent

Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein bakal umum Fasa baharu lokasi pencarian MH370


MH370: Lokasi pencarian baharu diumum seminggu dua lagi - Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein. HISHAMMUDDIN: Lokasi pencarian baharu itu bagaimanapun masih kekal di koridor selatan. -- gambar fail

SEPANG: Fasa baharu lokasi pencarian pesawat Penerbangan Malaysia MH370 akan diumum dalam tempoh satu atau dua minggu lagi, kata pemangku Menteri Pengangkutan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.


Bagaimanapun, katanya lokasi pencarian baharu itu masih kekal di koridor selatan.

"Carian kita tidak pernah berhenti tetapi sebelum diumum fasa baharu kawasan pencarian yang akan kita beri tumpuan bersama-sama China dan Australia, kita juga akan kenal pasti aset-aset kita," katanya kepada pemberita di sini, pada Jumaat.

Hishammuddin yang juga Menteri Pertahanan berkata selepas itu, semua aset tambahan akan dihantar untuk membantu usaha pencarian di lokasi baharu.

Terdahulu, beliau menghadiri taklimat mengenai persiapan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2) sempena perasmian lapangan terbang itu yang dijangka disempurnakan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada Selasa depan.

Hishammuddin menjelaskan aset tambahan dari China, Belanda serta syarikat swasta Petronas dan Sapura Kencana sudah sedia untuk dihantar.

Antaranya ialah Kapal Zhu Kenzhen 872 dari China, Fugeo Equator (dari Belanda) dan Deftech Phoenix International (Petronas) dan Multi-beam Echo Sounder dan Sun Bottom prOflier (SapuraKencana).

Selain itu, Hishammuddin berkata jawatankuasa aset yang diketuai oleh Timbalan Menteri Pertahanan Datuk Abdul Rahim Bakri akan bekerjasama dengan China dan Australia untuk mengenal pasti aset-aset itu benar-benar memenuhi keperluan.

Dalam fasa baharu pencarian itu, Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Abdul Aziz Kaprawi pula akan melihat dari segi panel pakar teknikal termasuk kerjasama dengan Boeing, Immarsat, Rolls Royce, Lembaga Keselamatan Pengangkutan Nasional Amerika Syarikat dan Jabatan Siasatan Kemalangan Udara China, katanya.



Pada 8 Mac, pesawat Boeing 777-200ER itu yang dalam penerbangan ke Beijing bersama-sama 239 penumpang dan anak kapal, hilang daripada imbasan radar kira-kira sejam setelah berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA) pada 12.41 tengah malam.

Gerakan mencari melibatkan pelbagai negara dilancarkan untuk mengesan pesawat itu, mula-mula di Laut China Selatan dan kemudian di selatan Lautan Hindi apabila ia dikatakan melencong daripada laluan asalnya.



Tujuh belas hari kemudian, Penerbangan MH370 itu dipercayai berakhir di selatan Lautan Hindi.

No comments:

Powered by Blogger.