MH370: Dimensi baru Penyiasatan temui bukti ada gangguan kuasa misteri pada pesawat


Gangguan kuasa misteri berlaku pada peringkat awal penerbangan

KUALA LUMPUR: Pasukan penyiasat nahas udara yang menyiasat kes kehilangan penerbangan Malaysia MH370 percaya telah menemui bukti baharu berkaitan dengan penyalahgunaan peralatan di dalam kokpit pesawat.


Pihak penyiasat nahas udara Australia turut mendedahkan bahawa penerbangan Boeing 777 itu mengalami gangguan kuasa misteri pada peringkat awal penerbangan, lapor The Telegraph.

Menurut pakar, mereka percaya ia sebahagian daripada usaha untuk mengelak daripada dikesan radar.

Laporan itu juga menyebut unit data satelit pesawat telah membuat permintaan luar kebiasaan untuk “log masuk” kepada sebuah satelit 90 minit selepas berlepas dari Lapangan Terbang Kuala Lumpur, KLIA.

Laporan berkata permintaan berkenaan, yang juga dikenali sebagai “handshake”, disebabkan gangguan elektrik di dalam pesawat.

“Permintaan log masuk di tengah-tengah penerbangan bukan  perkara biasa. Analisis telah dilakukan dan ciri-ciri serta masa permintaan log masuk dan setelah dipadankan adalah akibat gangguan kuasa,” kata laporan oleh  Biro Keselamatan Pengangkutan Australia itu.

Pakar keselamatan penerbangan dari Universiti Loughborough David Gleave berkata gangguan elektrik terhasil apabila seseorang di dalam kokpit cuba untuk mengurangkan penggunaan sistem pesawat.

“Mungkin seseorang bermain dengan sistem kokpit yang menyebabkan gangguan elektrik. Ia boleh menjadi satu gangguan yang disengaja untuk mematikan kedua-dua enjin untuk satu tempoh tertentu.
Dengan bermain dengan sistem, anda boleh mematikan kuasa elektrik dan menghidupkannya semula bila anda memerlukan sistem yang lain untuk menerbangkan pesawat itu,” kata beliau.

Inmarsat telah mengesahkan tentang penilaian yang dibuat namun berkata ia tidak tahu mengapa pesawat mengalami gangguan elektrik.

Post a Comment

0 Comments
* Please Don't Spam Here. All the Comments are Reviewed by Admin.