Amerika Syarikat ucap tahniah kepada Malaysia sempena kemerdekaan ke-57


SETIAUSAHA Negara Amerika Syarikat, John Kerry. - Foto AP - AS ucap tahniah kepada Malaysia sempena kemerdekaan ke-57

KUALA LUMPUR: Amerika Syarikat mengucapkan tahniah kepada Malaysia yang akan menyambut ulang tahun kemerdekaannya ke-57 Ahad ini.

Setiausaha Negara Amerika Syarikat, John Kerry, dalam kenyataan yang disiarkan dalam laman web Jabatan Negara Amerika Syarikat, mengucapkan kepada seluruh rakyat Malaysia 'Selamat Menyambut Hari Merdeka' dan berharap mereka terus menikmati kejayaan pada tahun-tahun akan datang.

"Bagi pihak Presiden Barack Obama dan rakyat Amerika, saya dengan amat sukacita mengutuskan ucap selamat kepada kepada rakyat Malaysia yang akan menyambut ulang tahun kemerdekaan ke-57 negara anda pada 31 Ogos ini," kata Kerry.



Menurut beliau, Amerika ingin mewujudkan hubungan lebih erat antara kerajaan, syarikat perniagaan dan rakyat dari kedua-dua negara serta memupuk keamanan dan kemakmuran di rantau ini dan di seluruh dunia.

Katanya, Amerika dan Malaysia adalah dua negara bersahabat yang menikmati hubungan rapat.

"Perkongsian komprehensif kita, yang bermula ketika lawatan bersejarah Presiden Obama ke Malaysia pada April, mencerminkan wujudnya sejarah dan persahabatan antara kita serta wawasan bersama ke arah menikmati masa depan yang aman serta produktif.

"Memberi fokus terhadap kestabilan serantau, memperkukuhkan lagi ASEAN dan memupuk pertumbuhan ekonomi, perkongsian ini mencerminkan wujudnya perkongsian kepentingan yang merapatkan lagi hubungan antara kedua-dua negara," katanya.

- BERNAMA

Post a Comment

0 Comments
* Please Don't Spam Here. All the Comments are Reviewed by Admin.