Gempar!!! Penerbangan Pesawat Malindo Air Ke Pulau Pinang Tergendala Akibat Ancaman Bom


Gempar!!! Penerbangan Pesawat Malindo Air Ke Pulau Pinang Tergendala Akibat Ancaman Bom

Penerbangan sebuah pesawat Malindo Air ke Pulau Pinang dengan membawa 37 penumpang dan anak kapal tergendala selama beberapa jam berikutan ancaman bom sebelum berlepas dari lapangan terbang Sultan Abdul Aziz Shah di Subang.

Syarikat itu, dalam satu kenyataan, berkata kapten penerbangan dimaklumkan mengenai kemungkinan ancaman bom semasa menaiki pesawat dan sebagai prosedur operasi standard, syarikat penerbangan itu memaklumkan menara kawalan dan pihak berkuasa.

Pengarah Perhubungan Awam dan Komunikasi Malindo Raja Sa'adi Raja Amrin berkata pesawat itu yang dijadual berlepas ke Pulau Pinang pada 3.40 petang, telah dibawa ke satu kawasan terpencil untuk menurunkan penumpang dengan selamat dan mereka dikuarantin sebagai sebahagian daripada prosedur keselamatan.

"Unit Pemusnah Bom menjalankan usaha mencari secara menyeluruh dalam pesawat dan bagasi penumpang dan memberi pelepasan bahawa pesawat itu selamat," kata Raja Sa'adi dalam satu kenyataan di sini malam ini.

Beliau berkata penumpang termasuk seorang bayi dihidangkan makanan dan mereka dipindahkan untuk menaiki pesawat lain yang berlepas ke Pulau Pinang pada 9.30 malam.

Sambil memberi jaminan bahawa keadaan itu ditangani secara profesional, Malindo Air menegaskan bahawa syarikat itu memandang serius ancaman ke atas keselamatan penumpang.

Foto - Berita Harian (Ihsan Penumpang)

Post a Comment

0 Comments
* Please Don't Spam Here. All the Comments are Reviewed by Admin.