Khazanah Nasional Bhd bayar RM1.4 bilion untuk keluarkan penyenaraian Malaysia Airlines


Khazanah bayar RM1.4 bilion untuk keluarkan penyenaraian MAS

KUALA LUMPUR: Khazanah Nasional Bhd (Khazanah) dijangka membayar hingga RM1.4 bilion untuk membeli baki saham tidak dimilikinya dalam Penerbangan Malaysia (MAS) bagi mengeluarkan penyenaraian syarikat penerbangan nasional itu.

Menerusi peringkat pertama program penyusunan semula MAS itu, Khazanah yang mempunyai 69.3 peratus kepentingan MAS akan membayar premium 12.5 peratus kepada pemegang saham minoriti apabila menawarkan pembayaran balik modal 27 sen seunit bagi setiap saham biasa dipegang.


Premium itu adalah berdasarkan penutupan harga saham MAS semalam pada 24 sen, serta mewakili premium 29.2 peratus atas harga pasaran purata wajaran (VWAMP) bagi tempoh tiga bulan.

Khazanah dalam kenyataannya di sini hari ini mengumumkan sudah mengemukakan permohonan rasmi kepada lembaga pengarah MAS untuk melaksanakan langkah pengurangan dan pembayaran balik modal secara terpilih (SCR) bagi saham biasa MAS.

Apabila SCR dimuktamadkan, Khazanah akan muncul sebagai pemegang tunggal saham biasa MAS yang seterusnya akan membawa kepada penyahsenaraian MAS daripada senaraian awam di Bursa Malaysia.

Pada Jun 2014, Khazanah sudah mengumumkan bahawa ia, menerusi rundingan dengan Pemegang Saham Khasnya, Kementerian Kewangan Diperbadankan, sedang dalam proses melaksanakan kajian semula komprehensif ke atas MAS.

Khazanah seterusnya menjelaskan bahawa, tertakluk kepada kelulusan yang diperlukan daripada pihak berkuasa yang berkaitan, ia akan mengumumkan skim penyusunan semula yang dicadangkan dalam tempoh enam hingga 12 bulan.
“Kami ingin menegaskan sekali lagi bahawa penyusunan semula yang dicadangkan memerlukan semua pihak bekerjasama untuk melaksanakan pembaik pulihan menyeluruh atas syarikat penerbangan nasional berkenaan, yang antara lainnya termasuk aspek operasi syarikat, model perniagaan, kewangan, modal insan serta persekitaran kawal selia.

“Semestinya segala usaha diperlukan bagi memastikan syarikat penerbangan negara ini akan kembali mencatatkan keuntungan sebagai sebuah entiti komersial serta berperanan sebagai entiti pembangunan nasional yang kritikal,” kata Khazanah dalam kenyataan itu.

Mengikut Khazanah, ia juga berada di peringkat akhir untuk memuktamadkan cadangan penyusunan semula itu secara keseluruhannya.

Selepas proses dan kelulusan yang sewajarnya daripada pihak berkuasa dan pengawal selia termasuk Pemegang Saham Khasnya, Kementerian Kewangan Diperbadankan diterima, Khazanah menjangkakan pelan tambahan yang lengkap akan diumumkan pada penghujung bulan ini.

Khazanah adalah dana pelaburan strategik Kerajaan Malaysia yang diamanahkan untuk memegang dan menguruskan aset komersil Kerajaan dan menjalankan pelaburan strategik.

Antara syarikat tersenarai utama di bawah portfolio pelaburan Khazanah adalah Telekom Malaysia Bhd, Tenaga Nasional Bhd, CIMB Group, Axiata Group Bhd, IHH Healthcare Bhd, Malaysia Airports Holdings Bhd dan UEM Sunrise Bhd.

Post a Comment

0 Comments
* Please Don't Spam Here. All the Comments are Reviewed by Admin.