Malaysia Airlines bakal dipecahkan kepada beberapa bahagian perniagaan


MAS mungkin dipecah kepada beberapa bahagian perniagaan

KUALA LUMPUR: Kerajaan akan membuat penyusunan semula menyeluruh Penerbangan Malaysia (MAS) untuk memulihkan syarikat penerbangan nasional itu yang sudah rugi sejak tiga tahun berturut-turut.

Antara opsyen yang mungkin dilaksanakan termasuk penjenamaan semula besar-besaran serta pakatan dengan syarikat penerbangan asing, mengurangkan laluan tidak menguntungkan, mengecilkan saiz kakitangan, memasukkan barisan pengurusan baru dan menjual unit perniagaan berdaya maju termasuk bahagian kejuruteraan, khidmat lapangan terbang dan anak syarikat tambang rendahnya, FireFly.

Justeru, tawaran Khazanah Nasional Bhd (Khazanah) untuk membeli semua baki saham tidak dimilikinya dalam Penerbangan Malaysia (MAS) adalah langkah pertama untuk pelaksanaan penyusunan semula menyeluruh itu.

Dengan tawaran premium 12.5 peratus atau tiga sen pada 27 sen seunit daripada penutupan semalam 24 sen, Khazanah dijangka perlu membelanjakan hampir RM1.4 bilion untuk membeli baki 30.7 peratus saham yang tidak dimilikinya dalam MAS.

Khazanah pada Jun lalu sudah memaklumkan rancangan penyusunan semula MAS dengan jangkaan butiran lengkap diumumkan dalam tempoh enam hingga 12 bulan, tetapi kehilangan pesawat MH370 pada 8 Mac dan MH17 yang ditembak jatuh pada 17 Julai dipercayai menjadi antara faktor program itu dipercepatkan.

Dengan itu, Khazanah yang menguasai 69.3 peratus MAS menyasar mengumumkan pelan lengkap dan menyeluruh mengenai penyusunan semula MAS hujung bulan ini selepas kelulusan daripada pihak berkuasa dan pengawal selia termasuk Pemegang Saham Khasnya, Kementerian Kewangan Diperbadankan.

Kehilangan misteri MH370 memberi kesan kepada pendapatan MAS berikutan penyusutan jualan tiket sehingga menyebabkan syarikat penerbangan itu mencatat prestasi terburuk dalam suku Januari-Mac dan kini beroperasi dengan menggunakan baki dana tunai RM3 bilion.
Bagaimanapun, dana itu dijangka hanya membolehkan MAS bertahan untuk tahun ini sahaja. Sejak 10 tahun lalu, Khazanah sudah menyuntik dana berjumlah RM5 bilion ke dalam syarikat penerbangan nasional itu.

Antara 2011 hingga tahun lalu, MAS sudah kerugian keseluruhan RM4.17 bilion dan RM443 juta dalam suku pertama tahun ini. Selain kerugian, MAS juga mempunyai hutang dengan sistem perbankan tempatan sebanyak RM10 bilion.

MAS juga membuat terbitan bon Islam RM2.5 bilion yang dipegang beberapa institusi kerajaan termasuk Kumpulan Wang Amanah Pencen (KWAP).

Justeru, syarikat penerbangan itu dan pemegang sahamnya kini dipercayai berunding dengan beberapa bank yang memberi hutang kepadanya berhubung penyusunan semula strategik yang dijangka membabitkan penjualan beberapa unit perniagaan termasuk bahagian kejuruteraan dan khidmat lapangan terbang serta menaik taraf angkatan pesawat yang sebahagian besarnya sudah berusia.

Seorang ahli ekonomi firma penyelidikan tempatan berkata, selain pemecahan kepada beberapa bahagian perniagaan dengan tumpuan MAS kepada operasi pengangkutan penumpang penerbangan sahaja, penyusunan semula akan turut membabitkan pengecilan 23,000 kakitangannya serta semakan semula kontrak pembekalan berat sebelah.

“Ini memang langkah yang sesuai untuk bergerak ke hadapan,.. perlukan pembaikan menyeluruh,” kata Pengurus Pelaburan Kanan Aberdeen Asset Management Asia, Christopher Wong kepada Reuters.

Penganalisis penerbangan di Maybank Investment Bank Research, Mohshin Aziz, berkata harga tawaran Khazanah kepada pemegang saham minoriti memang patut.

“Jika dibuat analisis harga wajar, ia adalah pada 25 sen seunit. Dengan tawaran pada 27 sen, Khazanah tawarkan premium yang patut,” katanya.

Dalam pada itu, seorang penganalisis lain berkata, usaha penyusunan semula MAS sebenarnya sudah direncanakan sejak beberapa tahun lalu tetapi tidak dapat dilaksanakan kerana pelbagai halangan terutama daripada kesatuan sekerja yang bimbang akan kemungkinan pemberhentian kakitangan.

Setiausaha Eksekutif Kesatuan Pekerja Sistem Penerbangan Malaysia (MASEU) Mohd Jabarullah Abdul Kadir, berkata pihaknya akan menyokong rancangan penyusunan semula itu jika pasukan pengurusan sedia ada ditukar.

“Ahmad Jauhari sudah diberi tiga tahun untuk memulihkan keadaan. Kami sudah nyatakan dengan jelas akan menyokong pasukan baharu yang mempunyai pengetahuan mengenai industri penerbangan dan berwibawa untuk kerja ini,” katanya kepada Reuters.

Sementara itu, Khazanah dalam kenyataannya mengumumkan tawaran itu menegaskan penyusunan semula yang dicadangkan itu memerlukan semua pihak bekerjasama untuk melaksanakan pembaikpulihan menyeluruh atas syarikat penerbangan nasional berkenaan, yang antara lainnya termasuk aspek operasi syarikat, model perniagaan, kewangan, modal insan serta persekitaran kawal selia.

“Semestinya segala usaha diperlukan bagi memastikan syarikat penerbangan negara ini akan kembali mencatatkan keuntungan sebagai sebuah entiti komersial serta berperanan sebagai entiti pembangunan nasional yang kritikal,” kata Khazanah dalam kenyataan dikeluarkan hari ini.

Rancangan penyusunan semula MAS adalah seperti cahaya di hujung terowong kepada kemelut dihadapi MAS. Bagaimanapun, dalam era industri penerbangan berdepan saingan sengit akibat perang harga dan dihimpit peningkatan kos terutama bahan api, perlu juga diberi perhatian mengenai apa yang dikehendaki rakyat negara ini berhubung syarikat penerbangan nasional mereka.

Pemerhati pasaran yakin dengan model perniagaan sedia ada, sukar syarikat penerbangan mencatat untung besar, malah arah aliran sektor itu di dunia menunjukkan sedemikian. Justeru, apabila dirombak semula, MAS wajar dibiarkan beroperasi sebagai sebuah syarikat penerbangan nasional dengan tumpuan membawa penumpang ke dalam atau ke luar Malaysia. Dengan angkatan pesawat dan kakitangan yang sepadan, memadai untuk membawa bendera negara di arena antarabangsa walaupun dengan keuntungan yang sederhana atau sekadar balik modal.

Post a Comment

0 Comments
* Please Don't Spam Here. All the Comments are Reviewed by Admin.