Pelajar Miskin Bersyukur dapat Lanjut Pengajian di IPTA


Pelajar Miskin Bersyukur dapat Lanjut Pengajian di IPTA

Peluang yang diberikan Universiti Malaysia Sabah (UMS) kepada pelajar miskin untuk melanjutkan pengajian ke universiti itu nyata memberi sinar kebahagiaan bagi mereka.

Sempena Minggu Suai Mesra (MSM) yang sedang dijalankan, krew Bahagian Media dan Citra sempat menemui dua pelajar yang ditawarkan melalui program tersebut.

Bagi Syazana Farhana James, beliau sangat gembira apabila menerima surat tawaran yang disampaikan sendiri oleh pegawai UMS pada penghujung  Ogos lalu.

“Pada mulanya saya sangat kecewa apabila menyemak keputusan UPU yang menyatakan saya tidak ditawarkan dari mana-mana universiti. Namun, peluang yang diberikan UMS memberi sinar kegembiraan dan saya bertekad untuk belajar bersungguh-sungguh dalam mengubah nasib keluarga,” ujarnya yang juga seorang anak yatim dan kini bergantung kepada ibu yang hanya bekerja sendiri.

Seorang lagi pelajar yang ditemui, Mohd. Fadzle Kadir berkata, beliau tidak menyangka untuk mendapat tawaran dari universiti memandangkan ketidakmampuan keluarganya selain tidak menerima sebarang tawaran sebelum ini.

Menurut anak keenam daripada sembilan orang adik beradik ini, beliau amat terkejut dan bersyukur apabila mendapat panggilan telefon dari UMS yang menyatakan dia ditawarkan mengikuti pengajian Program Keusahawanan di Fakulti Perniagaan, Ekonomi dan Perakaunan.

Untuk rekod, seramai 100 pelajar miskin telah ditawarkan melalui tawaran kemasukan pelajar prasiswazah mod isi rumah 40% terendah baru-baru ini. –SS

Bahagian Media dan Citra
Jabatan Canselori

Post a Comment

0 Comments
* Please Don't Spam Here. All the Comments are Reviewed by Admin.