Ikitbar MH370: Malaysia perlu satelit orbit rendah - MEASAT

MH370: Malaysia perlu satelit orbit rendah - MEASAT

klik 👉 Follow Telegram BeritaUp2date (large-bt)



Ikitbar MH370: Malaysia perlu satelit orbit rendah - MEASAT

KUALA LUMPUR: Malaysia disaran mempunyai sistem satelit orbit rendah bagi tujuan pemantauan dan mengesan frekuensi komunikasi berikutan tragedi misteri kehilangan pesawat MH370 pada 8 Mac lalu.

Timbalan Presiden Kejuruteraan dan Operasi MEASAT Satellite Systems Sdn Bhd, Zainudin Abdul, menyatakan satelit jenis itu perlu kerana ia boleh menjadi 'mata' dan 'telinga' negara di angkasa.

Beliau berkata, satelit itu yang berada pada ketinggian kurang 300km itu mempunyai sistem kamera beresolusi tinggi untuk pengambilan gambar objek yang lebih terang dan jelas tanpa halangan daripada atmosfera bumi.

Katanya, sistem pengesan frekuensi radio juga boleh mengesan atau menghantar isyarat yang lebih jelas kepada mana-mana kapal udara dan laut.

"Dalam konteks ini pengawasan dan pengesanan adalah dua teknologi yang perlu ada pada satelit di bumi dan angkasa lepas kerana ia boleh mengambil gambar secara serentak di seluruh permukaan bumi," katanya ketika ditemui BERNAMA.

Pada 8 Mac 2014, penerbangan MH370 yang membawa 227 penumpang dan 12 anak kapal, hilang daripada imbasan radar semasa berada di ruang udara Laut China Selatan setelah kira-kira sejam berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa KL pada 12.41 tengah malam. Pesawat itu sepatutnya tiba di Beijing pada 6.30 pagi hari sama.

Usaha mencari pesawat itu masih diteruskan, namun tiada sebarang bukti kukuh ditemui setakat ini.

Zainudin berkata, apabila satelit berada di kawasan orbit yang rendah, maka gambar yang diambil lebih jelas tetapi sudut pandangannya lebih kecil sedangkan bumi kita luas.

"Kalau satelit diletakkan pada orbit tinggi, kita akan dapat melihat seluruh permukaan bumi tetapi gambarnya ketika itu kurang jelas disebabkan ketinggiannya. Untuk mengambil gambar yang terang di seluruh permukaan bumi memerlukan satelit yang banyak dan perlu membuat pengawasan secara berterusan," katanya.

Zainudin berkata, Malaysia kini mempunyai enam satelit tetapi semuanya bukan jenis Satelit Orbit Rendah.

Katanya, keperluan itu juga sejajar dengan hasrat Malaysia yang sebelum ini mahukan pelaksanaan sistem pengesanan masa nyata pesawat dan berkongsi maklumat berhubung risiko penerbangan.

Hasrat itu dinyatakan Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai, pada 25 Oktober lepas dan Malaysia akan mengemukakannya termasuk beberapa perkara lain kepada Majlis Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO) yang akan bermesyuarat di Kanada minggu depan.

Sesi ke-203 Majlis ICAO dijadual berlangsung di bandar raya Montreal di Kanada.

- BERNAMA

Kongsikan artikel ini:

Ikuti kami di Facebook, Twitter, dan Telegram untuk berita terkini setiap hari.
klik 👉 https://t.me/BeritaUp2Date



Post a Comment

0 Comments
* Please Don't Spam Here. All the Comments are Reviewed by Admin.