Lawatilah Rumah terbalik Borneo di Tamparuli Sabah cukup mengujakan!


Rumah terbalik cukup mengujakan

Panorama indah matahari terbenam dari tingkap bilik hotel berhadapan Laut China Selatan memberi peluang penulis melihat dari kejauhan laut yang terbentang luas dengan bot laju merentasi samudera dan suasana senja mendamaikan.

Subhanallah! Indah sungguh ciptaan Ilahi. Keterujaan penulis turut dikongsi bersama rakan media lain.

Itulah antara santapan mata yang cukup mempesona ketika mengikuti Program Domestic Media Fam Trip anjuran Sabah Tourism Board dengan kerjasama AirAsia, baru-baru ini.

Sabah memang destinasi percutian yang terkenal keindahan alam semula jadinya merangkumi khazanah laut, tanah tinggi, keunikan budaya dan kepelbagaian suku kaumnya.


Tagal Tinopikon Park



Menjadi lokasi pertama dikunjungi sebaik tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu, persekitaran sungguh mendamaikan walaupun disambut hujan renyai tengah hari itu, namun air sungai yang mengalir deras bagaikan terapi minda.

Perjalanan kira-kira 30 minit dari Kota Kinabalu, Tagal Tinopikon Park adalah perkampungan kaum Kadazan Dusun yang menyajikan pelbagai keunikan budaya dan cara hidup penghuninya.

Dibangunkan pada tahun 2008 dan di bawah kelolaan AJ Best Travel Sdn Bhd Mei lalu, kawasan ini dulunya hutan dan semak sehingga tidak kelihatan rumah penduduk, namun suasana kini amat berbeza.

Merangkumi 13 rumah, kampung ini dibangunkan sebagai satu produk pelancongan untuk memperkenalkan kehidupan penduduk di kampung kepada pelancong.

Pakej yang terbahagi kepada dua sesi iaitu pagi dan petang dengan masa lawatan selama tiga jam. Ini memberi peluang pelancong mengikuti pelbagai aktiviti, antaranya memberi makan atau bermain dengan ikan kelah atau dipanggil pelian oleh masyarakat setempat.

Pelancong juga berpeluang melawat sekitar kampung, dusun dan belajar cara menoreh getah dan 'jungle trekking' ke dua air terjun.

Walaupun mengambil masa kira-kira 10 minit ke air terjun pertama yang dinamakan Tembokou, pelancong boleh menyaksikan pelbagai flora dan fauna sepanjang perjalanan termasuk periuk kera serta tumbuhan herba.

Makan tengah hari masakan tradisional Sabah dan sambil menikmati makanan, pelancong dihiburkan dengan alunan muzik tradisional dan persembahan tarian tradisional Kadazan Dusun.


Chanteek Borneo Gallery

Chanteek Borneo Gallery (CBG) terletak di Kampung Lakang, Jalan Telibong Tamparuli memperkenalkan kepelbagaian pakaian tradisional etnik di Sabah.

Dibuka pada 20 Ogos lalu, galeri itu milik Anna Antah bagi mempamerkan keunikan budaya dan mendidik pelancong mengenali kepelbagaian pakaian suku kaum di Sabah. Ini kerana Sabah mempunyai 32 etnik utama dan lebih 200 subetnik.

Ruangan untuk pakaian lama kebanyakan berwarna hitam adalah koleksi pertama yang akan dilihat menggunakan lebih 200 anak patung sebagai model.


Di ruangan pakaian lama ini, pakaian bomoh atau dukun atau dikenali sebagai 'bobohizan' pasti mencuri tumpuan kerana rekaannya mempunyai keunikan tersendiri terutama penggunaan hud di kepala.

Pakaian lain yang dipamerkan ialah pakaian menari, pengantin dan menuai. Terdapat juga replika rumah kampung penduduk Sabah serta peralatan muzik tradisional mereka.

Di luar galeri pula terdapat kedai yang menyediakan pelbagai tarikan termasuk kedai mengambil gambar menggunakan pakaian tradisional.


Rumah Terbalik Borneo


Ia terletak di Tamparuli dan menjadi rumah terbalik pertama di Malaysia dan Asia serta kelima di dunia.

Dibina Julai 2011 dan dibuka pada Februari 2012, rumah itu disenaraikan dalam Malaysia Book of Records.

Ia mengambil ilham sebuah rumah di Kota Belud, pembinaan rumah ini cukup unik dan berbeza dengan rumah terbalik di seluruh dunia.

Pembinaan rumah ini bermula dari bumbung di bahagian bawah sehinggalah bahagian lantai dan mereka menggunakan cermin untuk memantulkan gambaran sebenar supaya setiap benda yang dipasang berada dalam keadaan yang betul.

Kelengkapan rumah seperti televisyen, sofa, peti ais, meja makan, katil, tilam dan kipas semuanya terbalik.

Mesin jahit seberat 35 kilogram ialah barangan terbalik paling berat di rumah itu.

Keluar daripada Rumah Terbalik Borneo, taman terbalik dan tandas terbalik serta kereta terbalik cukup mengujakan.

 RUMAH Terbalik Borneo cukup mengujakan.

Post a Comment

0 Comments
* Please Don't Spam Here. All the Comments are Reviewed by Admin.