Tidak Mustahil Wanita untuk Perdana Menteri Malaysia - Tun Mahathir

TUN M: Dengan sokongan rakyat dan parti katanya, tidak mustahil jika seorang wanita akan dilantik memegang jawatan penting negara itu. Foto Bernama

klik 👉 Follow Telegram BeritaUp2date (large-bt)



Tiada halangan untuk wanita jadi PM Malaysia - Tun Mahathir.

Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, tiada halangan untuk kaum wanita menjadi Perdana Menteri negara ini jika mendapat sokongan majoriti rakyat dan parti.

Beliau menjelaskan, perkara itu tidak mustahil memandangkan Perlembagaan Persekutuan tidak pernah  menyekat golongan berkenaan daripada memegang jawatan nombor satu negara itu.

"Sebenarnya, tiada dalam Perlembagaan Persekutuan yang menyatakan halangan terhadap wanita untuk menjadi Perdana Menteri. Dalam sebuah negara demokrasi, suara majoriti diambilkira dan kita tidak boleh menghalang dia (wanita) untuk memegang jawatan itu," ujar Dr. Mahathir semasa menyampaikan ucaptama di Women Extraordinaire Forum, WEF 2014 di Pusat Konvensyen Sime Darby, Bukit Kiara.

Dengan sokongan rakyat dan parti katanya, tidak mustahil jika seorang wanita akan dilantik memegang jawatan penting negara itu.

"Mengikut perlembagaan, tiada bantahan tetapi ia bergantung kepada keadaan di mana jika dia menang 50 peratus suara majoriti dan dilantik sebagai Presiden parti, maka presiden wanita itu boleh menjadi Perdana Menteri," jelas beliau.

Dr.Mahathir berkata, kaum wanita banyak mendominasi universiti dan pentadbiran, maka tidak hairanlah jika pemilihan kaum wanita dalam pasaran kerja pada masa sekarang semakin meningkat.

Pada masa sama katanya, golongan itu disifatkan lebih berintegriti dan teliti dalam melaksanakan tanggungjawab.

"Wanita di Malaysia bertuah kerana diberi peranan dalam sektor kerajaan atau swasta berbanding sesetengah negara lain. Lebih ramai wanita di negara ini yang berpelajaran dan mereka banyak memenuhi bahagian pentadbiran yang kebanyakannya di sektor kerajaan," tambahnya.


Bagaimanapun, Dr. Mahathir berharap kaum ibu yang bekerja agar tidak mengabaikan anak-anak mereka dengan mengimbangi antara pekerjaan dan keperluan keluarga.

Kongsikan artikel ini:

Ikuti kami di Facebook, Twitter, dan Telegram untuk berita terkini setiap hari.
klik 👉 https://t.me/BeritaUp2Date



Post a Comment

0 Comments
* Please Don't Spam Here. All the Comments are Reviewed by Admin.