Perhatian buat Peminjam tegar PTPTN, bakal disenarai hitam di CCRIS mulai 1 Januari 2015


Peminjam tegar PTPTN bakal disenarai hitam di CCRIS mulai 1 Jan depan

Mulai 1 Januari tahun depan, Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) akan mengambil tindakan tegas untuk mengutip semula pinjaman dengan menyenaraikan peminjamnya dalam Sistem Maklumat Rujukan Kredit Berpusat (CCRIS).

Perkara itu diumumkan Pengerusi PTPTN, Datuk Shamsul Anuar Nasarah pada satu sidang media di pejabat perbadanan itu di Wisma Chase Perdana, Jalan Semantan, Damansara Height, di sini, sebentar tadi.

Selaras penguatkuasaan itu kelak, peminjam yang mempunyai rekod pembayaran buruk berisiko sukar memperoleh kelulusan pinjaman dari semua institusi kewangan, termasuk bagi permohonan pinjaman peribadi, kad kredit, perumahan serta kenderaan.

Shamsul berkata, penyenaraian ini akan dibuat secara berperingkat, dengan permulaan CCRIS akan dikenakan terhadap 173,985 peminjam tegar PTPTN yang langsung tidak pernah menjelaskan pinjaman melebihi tiga tahun dari tarikh mereka patut membuat bayaran balik.

Beliau berkata, ia membabitkan tunggakan sebanyak RM1.23 bilion.

"Rasional penyenaraian PTPTN dalam CCRIS bertujuan untuk menggalakkan peminjam supaya lebih berdisiplin dan bertanggungjawab dalam membayar balik pinjaman.

"Ia juga bagi memastikan komitmen bayaran bulanan peminjam dibuat dengan lebih konsisten," katanya.

Beliau berkata, langkah ini juga diputuskan selepas PTPTN mendapatkan pandangan pelbagai pihak termasuk kabinet, badan bukan kerajaan (NGO), mahasiswa serta jawatankuasa fiskal.

Samsul berkata, setakat ini, PTPTN perlu menyediakan peruntukan pinjaman pendidikan berjumlah RM5 bilion setahun bagi membiayai kos yuran dan sara hidup pelajar di Institut Pengajian Tinggi (IPT) awam dan swasta.

Hadir sama pada sidang media itu, Ketua Eksekutif PTPTN, Agus Cholan.

Sejak 1997 sehingga 30 September lalu, PTPTN sudah meluluskan pembiayaan pendidikan berjumlah RM48.36 bilion kepada lebih 2.1 juta pelajar.

Kelmarin, PTPTN mengumumkan langkah pengurangan jumlah pembiayaan pinjaman sebanyak lima dan 15 peratus kepada pelajar yang melanjutkan pengajian ke institusi pengajian tinggi mulai Sabtu lalu.

Ketua Pegawai Pemasaran dan Perhubungan Strategik PTPTN, Mastura Mohd Khalid, dipetik sebagai berkata pinjaman kepada pelajar institusi pengajian tinggi awam (IPTA) termasuk politeknik dikurangkan lima peratus, manakala institut pengajian tinggi swasta (IPTS) dikurangkan 15 peratus.

Katanya, langkah pengurangan ini berikutan kekangan dana yang sedang dihadapi oleh PTPTN, selain terpaksa menampung pertambahan 50,000 peminjam baharu yang memulakan pengajian bulan ini.

Pada tahun ini juga, PTPTN dilaporkan menerima dana RM4 bilion, namun hanya cukup untuk membiayai 75 peratus peminjam baharu dan peminjam sedia ada, manakala baki 25 peratus lagi tidak akan mendapat pinjaman.

Post a Comment

0 Comments
* Please Don't Spam Here. All the Comments are Reviewed by Admin.