Bila 5 Lelaki Warga Asing Samun Rumah Anggota Polis

5 Lelaki Warga Asing Samun Rumah Anggota Polis
klik 👉 Follow Telegram BeritaUp2date (large-bt)



JOHOR BAHRU - Lima lelaki dipercayai warga asing bersenjatakan sabit dan pisau bertindak menyamun rumah anggota polis di Kompleks Perumahan Polis Tanjung Labuh dekat Batu Pahat, awal pagi ini.

Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Abdul Wahib Musa berkata, pada kejadian jam 3.30 pagi itu, kelima-lima suspek yang menutup muka mereka dengan topeng ski, menyamun dua rumah di kawasan berkenaan.

Namun, tiada sebarang kecederaan dilaporkan, katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Abdul Wahib berkata kedua-dua rumah yang terletak bersebelahan, masing-masing diduduki anggota berusia 34 dan 51 tahun.

Beliau berkata, sejumlah barangan iaitu wang tunai kira-kira RM800, dua telefon bimbit, satu komputer riba, dan jam tangan dilarikan dari rumah pertama yang dihuni anggota berusia 51 tahun itu manakala suspek melarikan seutas rantai emas yang dipakai isteri mangsa kedua, wang tunai RM300 dan dua telefon bimbit.

Suspek turut mengikat tangan dan kaki mangsa kedua dan selepas suspek melarikan diri, mangsa menjerit meminta pertolongan jiran.

Beliau berkata, siasatan mendapati suspek masuk melalui pintu belakang dan membuka sekeping tingkap dan tombol pintu menggunakan tangan.

"Pintu belakang kedua-dua rumah itu tidak menggunakan kunci tambahan dan suspek dipercayai turut keluar melalui jalan yang sama," katanya.

Abdul Wahib berkata, satu operasi untuk menjejaki suspek dilancarkan dan setakat ini polis menahan 13 suspek warga Indonesia bagi membantu siasatan.

Kompleks perumahan polis itu didiami seramai 165 anggota lain-lain pangkat dan terletak kira-kira lima kilometer dari Ibu Pejabat Polis Daerah Batu Pahat.

Kes itu disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan, kata Abdul Wahib.

Sumber: Sinar Online

Kongsikan artikel ini:

Ikuti kami di Facebook, Twitter, dan Telegram untuk berita terkini setiap hari.
klik 👉 https://t.me/BeritaUp2Date



Post a Comment

0 Comments
* Please Don't Spam Here. All the Comments are Reviewed by Admin.